KUCHING: Skim Bantuan Deposit Perumahan Sarawak (HDAS) yang ditawarkan kepada golongan B40 dan M40 di Sarawak boleh mula dipohon mulai Januari ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, skim ini merupakan antara inisiatif Kerajaan Sarawak untuk membantu rakyat memiliki kediaman sendiri khususnya golongan muda.
“Dari sudut ini kita akan memberikan peruntukan untuk membantu mereka yang berada dalam kategori B40 dan M40 untuk membeli rumah.
“Jika mereka membeli rumah ketika usia masih muda, mereka tidak mempunyai beban yang panjang untuk membayar… jadi kita akan mulakan skim ini pada Januari 2022”, katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB Ke-13 pada Ahad.
Tambah Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari lagi, skim ini akan diuruskan Mutiara Mortgage and Credit Sdn Bhd dengan Kerajaan Sarawak akan membayar deposit rumah maksimum RM10,000 untuk pembelian rumah mampu milik.
Permohonan bagi skim ini boleh dibuat menerusi pemaju yang tersenarai bagi projek yang diluluskan atau skim Mutiara Mortgage and Credit.
Mereka yang berminat boleh menghantar borang yang telah lengkap diisi ke alamat Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd, Groud Floor of The Left Wing, Wisma Sultan Tengah, Taman Sukma, Jalan Sukma, Petra Jaya, 93050 Kuching, Sarawak dengan nombor telefon 082-313035 dan emel mmc@mutiaracredit.com.my.
Turut sama hadir, Timbalan Presiden Parti PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Pengerusi Tetap PBB, Tan Sri Datuk Amar Awang Asfia Awang Nassar, Naib Presiden Kanan PBB Dato Sri Fadillah Yusof dan Setiausaha Agung PBB Dato Sri Alexander Nanta Linggi.-EDISI UKAS
Sumber dari : UKAS